Tuesday, March 31, 2015

Adib sudah 4 tahun

Assalamualaikum


28/3/2015 genaplah umur Adib Hidayat 4 tahun. Dah besar anak Ibu ni. Mulut pun makin becok. Asyik bercakap je. Ada je soalan yang nak ditanya. Kadang-kadang Ibu tak sempat nak layan.

 * Menjadi adik kesayangan Along, Angah dan Abang

 * Happy sangat dapat potong kek

 * emmm...sedap

* comot momot

Adib selalu berimaginasi yang dia telah ke sekolah. "Ibu, cikgu adik kan suruh beli buku". "Ibu, kawan adik kat sekolah tu suka tengok Kobitos...". Macam tu lah selalu dia bercerita dengan saya. Cerita tentang cikgu dia, tentang kawan dia di sekolah..seolah-olah dia pergi ke sekolah. 

"Cikgu adik nama apa?" tanya Abah. 
"Norihati", sambil tangan tunjuk Ibu.

Kalau tanya "Adik nak pergi sekolah tak?". 
"Adik tak nak pergi sekolah. Adik nak duduk rumah je tengok tv". Itulah dia Adib Hidayat. Penglipur lara kami sekeluarga.

Semoga Adib Hidayat menjadi insan yang berguna suatu hari nanti. Berguna kepada agama, bangsa dan negara.

Friday, March 20, 2015

Pengalaman pertama - Mammogram (bahagian 2)

Assalamualaikum

Bersambung kita tentang pengalaman menjalani mammogram. 9 Mac 2015, pukul 8 pagi saya ditemani Cik Abang ke klinik Nur Sejahtera LPPKN Seremban 2 yang tak jauh dari rumah. Memang tak ada orang di klinik ni. Sunyi je. Masuk je klinik terus jumpa nurse di kaunter. Di pendekkan cerita bila saya telah memilih Columbia Asia Hospital sebagai tempat saya akan menjalani mammogram, nurse tadi telah menolong saya membuat temujanji untuk mammogram.

Kami terus ke hospital. Sementara menunggu temujanji pada pukul 9 pagi, sempatlah kami sarapan dulu di restoran berhampiran. Masa makan tu macam-macam benda yang difikirkan. Jantung pulak berdegup-degup. Hanya Allah je yang tahu takutnya masa tu.

Pukul 9 pagi, nama pun dipanggil oleh juru x-ray. Gadis India yang comel. Cakap pun lembut je. Dia beritahu apa yang dia akan lakukan  kepada kita nanti. Alhamdulillah kurang sikit takut. Kita dikehendaki membuka tudung, baju dan baju dalam. Barang kemas pun kena buka. Kemudian memakai baju yang disediakan.

Peringatan: masa nak jalani mammogram ni tak boleh pakai deodrant, minyak wangi atau bedak di badan. Takut keputusan yang diperolehi kurang tepat.

* Ihsan goggle

Semasa ujian tu,payudara kita akan dikepit oleh 2 plate atas dan bawah. Masa nilah gambar x-ray akan diambil. Kemudian mesin disengetkan sedikit, diulangi dengan mengepit dengan 2 plate di kiri dan kanan. Sekali lagi diambil gambar x-ray. Jadi 2 keping gambar x-ray untuk setiap payudara kita. Masa  kena kepit tu memang rasa sakit tapi tidaklah sakit sampai tak boleh nak tahan. Biasalah kalau anggota badan kita kena kepit, mestilah rasa sakit.

Sementara menunggu keputusan, saya dikehendaki ke bilik sebelah untuk jalani ujian ultra sound pula. Kali ni doktor perempuan melayu yang jalankan ultra sound. Masa ultra sound tulah saya ditunjukkan sebenarnya bukan sebiji saja ketulan yang ada tetapi 3 biji. 2 biji di sebelah kiri dan sebiji di sebelah kanan. Oleh sebab 2 biji ketulan tu kecil, saya tak dapat merasa dengan tangan, Terkejut juga saya bila tahu ada lagi 2 biji yang tersembunyi tu. Itulah pentingnya kita menjalani mammogram walaupun kita tidak mengesan sebarang ketulan semasa PSP (Pemeriksaan sendiri payudara). 

Alhamdulillah semasa ultra sound, doktor beritahu yang ketulan tu nampak bukan sel barah sebab biasanya sel barah bentuknya tidak licin. Biasanya bentuk sel barah tidak cantik. Menggerutu. Lain pula dengan bentuk ketulan yang terdapat pada payudara saya. Bentuknya bujur dan licin. Tapi itu bukan jaminan 100% dari doktor.

Biasanya selepas dibedah, ketulan yang dibuang itu akan dihantar ke makmal untuk mengenalpasti samada ianya adalah sel barah atau tidak. Dalam kes saya, apabila laporan ujian keluar, alhamdulillah ianya bukan sel barah. Masa tu lega sangat. Syukur sangat. Muka Cik Abang pun nampak ceria sikit berbanding pagi tadi.

Pukul 1 tengahari, jumpa doktor untuk minta nasihat apa yang perlu saya lakukan selepas ni. Doktor kata tak perlu buang pun sebab ianya tidak membesar dan tidak merbahaya. Ianya fibroid. Tapi jika kita sebagai pesakit ingin melakukan pembedahan membuang fibroid tersebut, terpulanglah. Jika pesakit merasa sakit di payudara atau fibroid tersebut membesar, barulah doktor nasihatkan supaya melakukan pembedahan.

Bagi saya pula, saya akan pegang kata-kata doktor yang mengatakan ianya tidak merbahaya dan tunggu saja.



Wednesday, March 18, 2015

Pengalaman pertama - Mammogram (bahagian 1)

Assalamualaikum

Kita orang perempuan ni macam-macam nak kena "check". Nak kena peiksa. Lebih-lebih lagi bila usia dah makin meningkat. Macam-macam penyakit yang nak datang dekat. Kali ni saya nak kongsikan pengalaman saya sendiri. Untuk peringatan kepada diri sendiri dan kawan-kawan pembaca semua.

Saya agak semua wanita tahu tentang mammogram ni. Mammogram ni X-ray khas untuk payudara untuk mengesan kehadiran sel barah. Biasanya mammogram ni di sarankan kepada wanita yang berumur 40 tahun dan ke atas. Boleh dapat info tentang ujian saringan barah payudara di sini.

Macam mana saya tergerak hati nak menjalani mammogram? Semuanya bermula apabila Cik Abang dapat mengagak yang saya ada masalah. Saya tak tahu macam mana saya nak cerita kepada Cik Abang yang dah hampir seminggu payudara saya sakit. Lagi pula saya dapat rasa ada ketulan yang agak besar di payudara kiri saya.

Macam-macam perasaan bermain dalam fikiran bila saya dapat rasa ketulan tu. Saya mula goggle simptom-simpton barah payudara tapi masih belum bersedia untuk beritahu Cik Abang. Dalam hati sentiasa berdoa yang ketulan tu bukan barah. Saya takut nak menerima kenyataan kalau saya ada barah. Sebab tu saya ambil pendekatan diamkan diri.

Saya nak nasihatkan kepada pembaca semua jangan jadi macam saya. Jangan sekali-kali menangguhkan untuk  ke klinik atau hospital jika terdapat ketulan dan perubahan pada payudara anda. Cik Abang pun dah membebel sebakul bila dapat tahu saya takut nak bagitahu dia tentang perkara ni.

Malam tu juga cari info tentang mammogram di Klinik Nur Sejahtera LPPKN. Alhamdulillah klinik ni ada di Seremban 2, dekat je dengan rumah saya. Esok pagi terus ke sana. Klinik buka pukul 8 pagi. Cik Abang temankan saya ke klinik. Cuti sehari Cik Abang hari tu. Mula-mula saya ingat mammogram tu dibuat di klinik tu rupanya bukan.

Kalau kita mendaftar di Klinik Nur Sejahtera Seremban 2 ni, kita diberi pilihan untuk menjalani mammogram di Columbia Asia Seremban 2, KPJ Seremban, Klinik Mawar atau Institut Kanser Nilai. Saya telah memilih Columbia Asia Hospital sebab dekat dengan rumah. Bila dah ada laporan, kita hendaklah membawa semula ke klinik Nur Sejahtera dan kita layak mendapat subsidi kerajaan. Dengan kata lain, kita tak perlu bayar atau ianya percuma untuk mammogram tersebut. Subsidi ni sah untuk wanita yang berumur 40-70 tahun. Kita juga layak membuat ujian pepsmear percuma.

Saya rasa ini peluang yang baik kepada wanita di luar sana untuk menjalani mammogram ni sebab kalau tak ada subsidi kita kena bayar RM120-RM140 bergantung pada hospital mana kita pergi. Kalau di Columbia Asia, RM 140

Senarai Klinik Nur Sejahtera di seluruh negara di sini.

Bersambung...

Monday, March 16, 2015

Berkumpul bersama keluarga

Assalamualaikum

Alhamdulillah berkesempatan lagi update blog kali ni. Kali ni nak cerita tentang kami sekeluarga (sebelah Cik Abang) ke Bagan Lalang Sabtu lepas (28 Feb 2005). Plan nak ke Bagan Lalang ni dah lama. Sejak tahun lepas lagi tapi disebabkan masing-masing ada rancangan maka terpaksa ditunda.


Mak dan Abah pukul 11 pagi lagi dah smpai dari Serting. Sempat makan tengahari bersama di rumah kami. Biasalah mak kalau datang dari kampung mesti bawa lauk yang dah siap dimasak. Siap pesan lagi supaya saya tak payah masak. Itu yang best tu..hehehe. 

Kami bertolah ke Bagan Lalang pukul 4 petang. Tak jauh pun rumah kami dengan Bagan Lalang ni. Tak sampai sejam pun. Bila datang sini tak payah risau tentang solat sebab surau ada disediakan. Kami pun sempat solat asar dulu di surau belakang Kedai Makan Senandung Malam. 

Lepas solat asar barulah ke pantai. Suka betul budak-budak ni dapat main pasir. Pasirnya pulak halus dan lembut je bila pijak. Tu yang seronok tu.

 * Bentang tikar dulu

* Atuk dan Wan terhibur melihat gelagat cucu-cucu bermain

 * Sesuai bermain layang-layang hari ni

 * Mak Lang baru belajar main layang-layang


 * Bestnya dapat main pasir halus. Mak Long pun dah sampai

* Layan Zuhair main pasir. Seronok betul dia

 * Imran geli-geli bila main pasir :p

* Tak ingat dunia Zuhair main pasir

 * Tanam kaki dalam pasir pulak bedak-budak ni. Macam-macam hal


 * Aiman, Pak Lang dan Abah main frisbee

Bila dah gelap sikit kami bagi anak-anak mandi laut. Memandangkan laut landai saja dan ombak pun tak besar kami benarkan mereka mandi-manda. Bukan main suka lagi. Sekejap je mandi pun sebab dah dekat nak maghrib. 

Yang paling tak tahan, penuh pasir dalam poket seluar. Jenuh jugak nak basuh. Tapi bila fikir-fikir dapat seronokkan anak-anak tu, biarlah Abah dengan Ibu susah sikit tak apa.

* Hati Ibu dab Abah berbunga bila melihat senyuman mereka



Tempat mandi ada disediakan bersebelahan dengan surau. Dengan bayaran RM0.50 dan dibekalkan seketul sabun mandi kecil, alhamdulillah anak-anak dan bersih dan segar. Terus solat maghrib di surau.

Di masa yang sama Pak Lang, Atuk dan Wan dah "chop" tempat di kedai makan. Kami bergilir-gilir solat Maghrib. Kalau lambat, alamat tak ada tempat duduklah. Nasib baik Pak Lang dan Mak Lang dah order makanan sejak dari petang lagi. Jadi taklah lama sangat nak tunggu makanan siap. 










* Mak Lang dan Pak Lang 

* Ahmad Adam Ishraq

Terima kasih kepala Mak Lang dan Pak Lang sebab belanja makan malam tu. Semoga kamu berdua dimurahkan rezeki.

Borang Pesanan

Nama:
Alamat email/facebook:
Alamat Penghantaran:
No. telefon/HP:
No. kod/ item:
Cara pembayaran:

Create a web form here
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger... Elegant Rose - Working In Background
Copyright to NORIATI SAUD
Designed by UMIESUEstudio 2015